Siri Basic 1: Cuti Bergaji

Akta Kerja 1955 (Employment Act 1955) menetapkan beberapa hari yang minima sebagai cuti berbayar (cuti bergaji = paid leave) kepada setiap pekerja yang dilindunginya.

Jenis-jenis cuti itu ialah:

1.  Cuti Rehat Mingguan
2.  Cuti Tahunan
3.  Cuti Sakit
4.  Cuti Umum
5.  Cuti Bersalin

Pada asasnya,

1.   Cuti Rehat Mingguan (Rest Day)

1.1   Pekerja mesti diberi Cuti Rest Day sehari dalam seminggu. Harinya boleh ditetapkan secara bersama.

1.2   Bagi mereka yang bekerja lima hari dalam seminggu, Cuti Rehat Mingguan ialah pada hari rehat yang kedua.

1.3   Bagi seorang Pekerja Syif, tempoh rehat berterusan (antara mula habis syif ke permulaan syif yang lain) selama 30 jam telah dianggap sebagai satu hari Cuti Rehat Mingguan.

1.4   Hak mendapat Cuti Rehat Mingguan ini lupus, tidak terpakai, apabila pekerja:

(a) sedang dalam tempoh Cuti Bersalin
(b) mendapat Cuti Sakit
(c) dalam tempoh Cuti Perkeso atau dalam tempoh cuti sakit di bawah Akta Pampasan Pekerja (hilang upaya sementara)

2.   Cuti Tahunan (Annual Leave)

2.1   Kelayakan Cuti Tahunan adalah berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan pekerja itu:

(a)  8 hari  —  jika perkhidmatanya kurang dari 2 tahun
(b)  12 hari — jika perkhidmatanya ialah antara 2 tahun tetapi belum melebihi 5 tahun
(c)  16 hari — jika telah berkhidmat 5 tahun atau lebih

2.2   Semasa sedang dalam Cuti Tahunan tetapi pekerja itu mendapat Cuti Sakit atau Cuti Bersalin, maka Cuti Tahunan itu dianggap sebagai tidak/belum diambil.

2.3   Majikan boleh memberi lebih bilangan hari cuti ini jika ia mahu berbuat demikian.

3.   Cuti Sakit (Medical Leave)

3.1   Hak mendapat Cuti Sakit yang biasa (tanpa dimasukkan dalam wad hospital) dalam setahun bergantung kepada tempoh perkhidmarat pekerja itu:

(a)  14 hari  —  jika berkhidmat kurang dari 2 tahun
(b)  18 hari —  jika berkhidmat genap 2 tahun tetapi belum mencapai 5 tahun
(c)  22 hari —  jika telah berkhidmat selama 5 tahun atau lebih

3.2   Majikan boleh memberi lebih bilangan hari cuti ini jika ia mahu berbuat demikian

3.3   Cuti Sakit di atas termasuklah Cuti Sakit yang diberi oleh Doktor Pergigian.

3.4   Jika perlu dimasukkan ke dalam wad hospital, Cuti Sakit dikira sebagai satu jumlah keseluruhan 60 hari dalam tahun berkenaan. Jumlah Cuti Sakit keseleruhan ini hendaklah ditolak dari bilangan Cuti Sakit yang telah diguna dalam kategori Cuti Sakit biasa di atas tadi.

4.   Cuti Umum (Public Holiday)

4.1   Seorang pekerja berhak mendapat 11 hari dalam setahun sebagai Cuti Umum. Bilangan hari Cuti Umum ini dipilih oleh majikan dari sekian banyak bilangan dan jenis cuti umum yang diwartakan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, dan dimaklumkan kepada semua pekerja sebelum bermulanya tahun yang baru.

4.2   Bilangan hari Cuti Umum ini boleh ditambah oleh majikan jika ia bersedia berbuat demikian.

4.3   Daripada bilangan 11 hari itu tadi (atau bilangan tambahan oleh majikan), 5 hari mestilah terdiri dari hari-hari berikut:

(a)   Hari Kebangsaan
(b)   Hari Malaysia
(c)   Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong
(d)   Hari Keputeraan Sultan atau Yang Di-Pertua Negeri atau Hari Wilayah Persekutuan
(e)   Hari Pekerja

4.4   Bakinya boleh dipilih oleh majikan. Hari-hari cuti umum lain ini boleh ditukar ganti dengan hari cuti yang lain atau dipindahkan kepada hari yang lain tetapi hendaklah dengan persetujuan pekerja.

4.5   Satu lagi Cuti Umum ialah cuti umum yang diumumkan oleh kerajaan secara tiba-tiba. Contohnya: kerana pilihanraya umum, atau Malaysia menang Piala Dunia (bolasepak). Cuti yang diisytiharkan secara tiba-tiba ini dibuat di bawah Akta Hari Kelepasan Am 1951. Walaupun majikan mesti memberi hak cuti umum ini kepada pekerja tetapi ia boleh memilih untuk memberi cuti ini (mengganti) pada satu tarikh yang lain.

4.6   Jika hari Cuti Umum itu jatuh pada hari Cuti Rehat Mingguan, atau jatuh pada datu lagi hari Cuti Umum yang lain, maka hari kerja berikutnya hendaklah digantikan sebagai hari Cuti Umum bergaji.

4.7   Jika hari Cuti Umum atau hari yang diganti jatuh semasa pekerja dalam Cuti Sakit, atau sedang dalam Cuti Tahunan, atau dalam Cuti Perkeso, pekerja itu mesti diberi hari Cuti Umum yang lain sebagai ganti.

5.   Cuti Bersalin

5.1   Pekerja wanita yang bersalin diberi hak Cuti Bersalin selama 60 hari berturut-turut. Tetapi jika waktu itu dia telah pun mempunyai lima anak, atau lebih, maka dia tidak lagi layak diberi Cuti Bersalin ini.

5.2   Tempoh 60 hari ini termasuk segala Cuti Rehat Mingguan dan Cuti Sakit.

Sekian, semoga maklumat asas ini ada faedahnya kepada anda.

———————————–
i.   sebarang kesilapan akan diperbetulkan.

ii.  image is by Wong Mei Teng, Kuala Lumpur (http://www.sxc.hu/profile/MeiTeng)

Advertisements

About rahmanpin

sharing basic things in employment matters
This entry was posted in Employment laws and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

50 Responses to Siri Basic 1: Cuti Bergaji

  1. East says:

    Soalan saya.adakah seseorang Pekerja yang berkhidmat kurang dari satu tahun berhak utk mendapatkan cuti sakit walaupun tlh menandatangi kontrak

    Like

    • rahman ariffin says:

      Maaf tuan kerana response yang sangat lambat.

      Kelayakan untuk mendapat Cuti Sakit (Medical Leave = MC), tidak tertakluk kepada berapa lama tempoh berkhidmat seseorang pekerja itu. Hak atau kelayakan untuk mendapat MC ini bermula sebaik sahaja seseorang itu memulakan kerja dengan majikan/syarikat, sama ada dengan lantikan secara kontrak/perjanjian bertulis atau tidak bertulis.

      Akta Kerja 1955 menyatakan hak seseorang warga kerja mendapatkan Cuti Sakit (yang diluluskan oleh doktor perubatan kerajaan atau doktor yang diiktiraf oleh majikan/syarikat) seperti berikut:

      Mulai dari hari pertama bekerja sehingga jangkamasa tidak melebihi dua tahun bekerja: 14 hari Cuti Sakit berbayar;
      Bagi tempoh bekerja dua tahun sehingga tidak lebih lima tahun: 18 hari Cuti Sakit berbayar;
      Bagi tempoh bekerja lima tahun atau lebih: 22 ahri Cuti Sakit berbayar

      Harap jawapan ini jelas.

      Terima kasih.

      Like

  2. aini says:

    Sy kerja dari 16 hb smpai 25hb. 1 hari public holiday. 1 hari off day. Tp majikan sy kira gaji sy utk 8 hari saje. Sepatutnye public holiday tu dy perlu byr jgk kan ?

    Like

    • rahman ariffin says:

      Pada asasnya, betul, majikan mesti bayar/kira gaji tuan bagi tempoh 16hb ~ 25hb, tanpa apa-apa potongan. Sila tuan jumpa majikan dan runding serta minta bayaran bagi gaji yang terkurang itu.

      Like

  3. Myz says:

    Saya ingin bertanya. Bagaimana jika suatu cuti perayaan. Pekerja di paksa untuk mengambil annual leave . Selama 7 hari gara2 suatu perayaan. Annual leave yang ada ditolak .

    Like

    • rahman ariffin says:

      Tuan,
      1. Dari segi undang-undang pekerjaan, memang benar cuti tahunan seseorang pekerja tidak boleh ditolak kecuali dengan izinnya, atau majikan tidak boleh memaksa pekerja mengambil cuti tahunan.
      2. Bagaimanapun, dari segi amali atau praktiknya, akan ada sesuatu masa di mana majikan memerlukan semua atau sebahagian besar dari pekerjanya untuk bercuti. Contohnya, Shutdown, Cuti Raya. Umumnya adalah menjadi pendapat terbanyak bahawa adalah tidak praktikal atau tidak logik jika seorang kerani sahaja yang datang bekerja sedangkan kesemua pekerja lain dalam syarikat itu balik kampong kerana cuti raya. Apa kerja yang boleh dibuatnya? Atau ada Shutdown: tidak munasabah seorang atau dua orang operator datang ke kilang sedangkan mesin atau line ditutup.
      3. Dalam hal ini, biasanya pekerja perlulah bertolak-ansur. Majikan juga jangan sewenang-wenang memaksa cuti tahunan ke atas pekerjanya tanpa rundingan terlebih dahulu.

      Like

  4. Toh says:

    Cuti tahunan bagi pekerja setengah hari, hanya bekerja untuk sesi pagi sahaja, adakah jumlah cuti tahunan sama dengan pekerja sepenuh masa?

    Like

    • rahman ariffin says:

      Tuan,

      1. Terima kasih kerana mengikuti blog ini. Dan terima kasih kerana bertanya.

      2. Bilangan cuti tahunan (Annual Leave) bagi pekerja separuh masa (Part-Time) tidak sama dengan apa yang boleh didapati oleh pekerja Full-Time. Yang sama hanyalah syarat-syarat untuk melayakkan seseorang kepada cuti tahunan itu saja.

      3. Hak pekerja yang bekerja separuh masa (Part-Time) diuruskan di bawah “Employment (Part-Time Employees) Regulations 2010”. Bilangan hari cuti tahunan yang layak bagi seseorang pekerja Part-Time adalah seperti berikut

      (a) 6 hari dalam setahun, jika telah bekerja selama kurang dari 2 tahun. Pekerja Full-Time: 8 hari.
      (b) 8 hari dalam setahun, jika telah bekerja selama 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun. Pekerja Full-Time: 12 hari.
      (c) 11 hari dalam setahun, jika telah bekerja selama 5 tahun atau lebih. Pekerja Full-Time: 16 hari.

      4. Sekian, harap telah dapat membantu.

      Like

  5. liana says:

    Adakah pekerja yg masih dlm probation month layak mendapat 8 hari cuti tahunan walaupun tidak tertakluk dlm kontrak syarikat?

    Like

    • rahman ariffin says:

      Puan,

      1. Terima kasih kerana (sabar) mengikuti blog ini 😉 dan terima kasih atas pertanyaan.
      2. Pekerja yang masih dalam probationary period tetap juga layak dan berhak mendapat Cuti Tahunan. Tetapi jika mengikut kehendak Akta Kerja, puan layak mendapat Annual Leave 8 hari itu hanya selepas puan tamat bekerja 12 bulan.

      3. Sebarang cuti yang puan ingin ambil sebelum tempoh kerja 12 bulan itu adalah tertakluk kepada budibicara majikan untuk meluluskannya, yang biasanya diberi sebagai Cuti Tanpa Gaji.

      4. Harap jawapan ini dapat membantu puan.

      Like

  6. Ayu yahya says:

    1) Sy kerja retail line. Dlm 1mggu 1 restday tapi kalau sy bawa cuti tu ke depan gabung kan dgn restday mggu seterus nya adakah majikan boleh ‘burn’ kan restday sy mggu yg sebelum tu?

    Like

    • rahman ariffin says:

      Puan Ayu,
      Terima kasih sudi bertanya.

      1. Rest Day (Cuti Hari Rehat) biasanya tidak boleh digabungkan dengan Cuti Hari Rehat yang lain. Ianya hendaklah diambil apabila hari Cuti Hari Rehat itu tiba.
      2. Tetapi cuba Puan lihat kembali dasar atau peraturan syarikat yang sedia ada, adakah Cuti Hari Rehat itu boleh atau dibenarkan digabungkan dengan Cuti Hari Rehat yang lain. Jika dibenarkan, jawapannya ialah “Boleh”. Jika tidak, sudah tentulah tidak boleh. Jika tidak boleh maka “burn”lah.

      Harap saya telah dapat membantu. Terima kasih.

      Like

  7. Said says:

    Saya nak tanya,baru ni isteri saya bersalin dann saya punn ambil cuti..adakah cuti saya itu berbayar ataupun tak..?bagi pencerahann untuk ini?dan berapa hari kah kelayakann cuti utk suami bila isteri bersalin?apa kah langkah yg terbaik utk menyelesaikann masalah tersebut?terima kasih.

    Like

    • rahman ariffin says:

      Tuan,
      Terima kasih atas pertanyaan ini. Maaf lewat memberi response.
      Tahniah kepada tuan dan isteri kerana mendapat baby baru.

      Tanpa info tambahan atau background, masalah cuti yang tuan ambil itu saya jawab sebagai berikut:
      1. Cuti Isteri Bersalin: biasanya majikan/syarikat memberi “Paternity Leave” iaitu cuti berbayar apabila isteri pekerja melahirkan anak. Dua hari atau tiga hari, mengikut dasar atau peraturan syarikat.
      2. Jika majikan/syarikat tidak mempunyai dasar atau peraturan itu, tuan boleh ambil cuti di bawah kelayakan Cuti Tahunan (Annual Leave) tuan yang sedia ada.
      3. Jika tuan tiada lagi baki Cuti Tahunan, atau baki yang ada tidak mencukupi hari yang tuan bercuti, ianya akan dianggap sebagai Cuti Tidak Berbayar (Unpaid Leave).
      4. Bilangan hari Paternity Leave (cuti apabila isteri bersalin) tidak diperuntukkan dalam Akta Kerja (undang-undang buruh). Maka sebarang bilangan cuti berkenaan tertakluk sepenuhnya kepada budibicara majikan/syarikat atau hasil dari rundingan antara Kesatuan Sekerja dan syarikat, jika syarikat itu mempunyai Kesatuan Sekerja (union).

      Sekian, harap dapat menjelaskan permasalahan tuan. Terima kasih.

      Like

  8. Wina Samri says:

    Salam. Saya ingin bertanya. Saya berkerja bahagian sales. Baru2 ini manager saya ingin menyekat pekerja dari mengambil cuti tahunan. Adakah itu tindakan yang wajar dan pekerja harus mematuhi arahan tersebut? Ini kerana kami juga diminta untuk berkerja lebih masa dari isnin – jumaat dan berkerja separuh hari untuk 2 kali sabtu.

    Like

    • rahman ariffin says:

      Waalaikumussalaam Puan. Terima kasih bertanya.

      1. Saya kurang pasti latarbelakang kes, iaitu kenapa manager puan tidak mahu approve permohonan cuti tahunan pekerjanya. Adakah kerana sesuatu keadaan atau kehendak syarikat atau bahagian sales itu sendiri yang timbul hingga menyebabkan manager puan mahu sekat pekerja beliau dari mengambil cuti tahunan, sedangkan cuti tahunan itu hak pekerja.

      2. Namun haruslah diingat: cuti tahunan memang hak pekerja tetapi pengambilannya bergantung kepada kelulusan manager puan. Iaitu sebelum diluluskan, dia mesti melihat terlebih dahulu keadaan persekitaran dan keperluan syarikat atau bahagian/jabatan. Contohnya: dia tak boleh luluskan 8 orang pekerja bercuti sedangkan bahagian atau jabatan sales itu sendiri hanya mempunyai 10 orang pekerja; pincang nanti operasi bahagian sales.

      3. Tetapi jika tindakan atau keputusan manager puan ingin menyekat pekerja dari mengambil cuti tahunan kerana sebab style, atau masalah peribadi, atau bias, atau pilih kasih, maka saya katakan tindakan itu tidak wajar. “Tidak wajar” misalnya dia tak luluskan permohonan cuti Pekerja A tetapi tidak meluluskan permohonan Pekerja B pilih kasih. Dalam kes seperti itu, puan perlulah berjumpa dengan pihak HR atau boss yang lebih tinggi. Atau jika syarikat mempunyai Grievance Procedure, isi borang dan buatlah aduan.

      Terima kasih. Moga dapat membantu.

      Like

  9. mc morrison says:

    saya nak tanya berkenaan dengan cuti tahunan. sudah bekerja selama 15 tahun dengan majikan yg sama, jadi untuk tahun ni berapa harikah jumlah cuti tahunan yg saya ada @ dapat? nak kepastian je…

    Like

    • rahman ariffin says:

      Tuan, terima kasih kerana bertanya.

      Kelayakan mendapat Cuti Tahunan (Annual Leave) tertakluk kepada dua perkara: (1) Tertakluk kepada kandungan Employment Contract atau Surat Lantikan atau Dasar Syarikat/Dasar Majikan tempat tuan bekerja. Contohnya, ada syarikat yang memberi bilangan Cuti Tahunan sebanyak 10 hari bagi khidmat Tahun Pertama, 15 hari bagi Tahun Kedua ~ Keempat, 21 hari bagi yang bekerja Tahun Kelima dan seterusnya. (2) Bagi syarikat yang tiada dasar tertentu atau dasar bertulis, syarikat itu mungkin menyebut dalam Surat Lantikan atau Perjanjian Pekhidmatan sebagai “Cuti Tahunan adalah seperti yang dinyatakan dalam Akta Kerja”. Jika demikian, bilangan Cuti Tahunan tuan adalah seperti berikut:

      (a) 8 hari — jika perkhidmatanya kurang dari 2 tahun
      (b) 12 hari — jika perkhidmatanya ialah antara 2 tahun tetapi belum melebihi 5 tahun
      (c) 16 hari — jika telah berkhidmat 5 tahun atau lebih

      Tuan telah bekerja selama 15 tahun, maka ertinya tuan layak mendapat sebanyak 16 hari Cuti Tahunan dalam setahun.

      terima kasih.

      Like

  10. Lynn Jali says:

    saya ingin bertanya adakah pengarah syarikat mempunyai cuti tahunan seperti pekerja-pekerja yang lain? sekiranya ada, berapa hari kah beliau layak mendapat cuti tahunan

    Like

    • rahman ariffin says:

      Dear Lynn,

      Terima kasih kerana bertanya. Terima kasih juga kerana sudi melawat blog ini.

      “Pengarah” biasanya terbahagi kepada dua golongan: (1) pengarah eksekutif dan pengarah pengurusan, (2) pengarah bukan eksekutif.

      a. Kita lihat dulu apa itu “pengarah eksekutif dan pengarah pengurusan”. Seseorang pengarah eksekutif (executive director and management director) adalah pekerja syarikat sama ada sepenuh masa atau tidak, dan menerima gaji serta faedah kerja dari syarikat. Contohnya, “Pengarah Urusan”, yang mengetuai seluruh syarikat atau kumpulan syarikat. Atau, “Pengarah Eksekutif Kumpulan Perbankan Domestik”: pengarah ini menyelia segala operasi perbankan domestik sesuah kumpulan bank. Atau, “Pengarah Jabatan Sumber Manusia”, yang menyelia atau menjadi ketua Jabatan Sumber Manusia. “Pengarah” dalam kategori ini mempunyai satu ikatan kontrak perkhidmatan dengan syarikat, yang menyenaraikan syarat-syarat perkhidmatan mereka, seperti gaji, bonus, insentif, pelbagai jenis cuti, faedah pekerjaan, dan tempoh lantikan. Maka bilangan atau kelayakan cuti tahunan mereka adalah bergantung kepada apa yang disebut oleh kontrak itu tadi.

      b. Pengarah bukan eksekutif: Mereka ini biasanya terdiri daripada pengarah syarikat yang tidak bekerja sepenuhnya dengan syarikat, hanya datang hadir mesyuarat lembaga pengarah atau committee meetings, atau hadir hanya dua atau tiga hari dalam seminggu; tidak diberi gaji bulanan tetap tetapi hanya elaun khidmat bulanan atau tahunan (director’s monthly allowance dan annual director’s fees), tidak berkelayakan menerima faedah kerja seperti orang lain. Biasanya mereka ini dilantik oleh lembaga pengarah (Board of Directors) sebagai Non-Executive Chairman, atau ahli lembaga pengarah biasa (non-executive). Mereka mempunyai syarat-syarat kontrak lantikan pengarah tersendiri tetapi tidak ada kelayakan cuti tahunan atau apa-apa cuti lain.

      Saya harap jawapan ini dapat membantu puan.

      Happy New Year!!!

      Like

  11. misha says:

    Hi, saya ingin bertanya . Saya ada seorang pekerja mula berkerja pada 15/2/14 hingga 16/1/17. Dia harus dapat berapa hari cuti tahunan. Sekian , terima kasih.

    Like

    • rahman ariffin says:

      Hi Misha,

      Terima kasih kerana bertanya soalan ini.

      1. Seksyen 60E Akta Kerja 1955 menyebut bahawa bagi setiap 12 bulan bekerja, seseorang pekerja berhak mendapat Cuti Tahun (Annual Leave) seperti berikut:

      (a) 8 hari jika jangka masa perkhidmatannya kurang dari 2 tahun;
      (b) 12 hari jika jangka masa perkhidmatannya ialah antara 2 hingga 5 tahun;
      (c) 16 hari jika jangka masa perkhidmatannya lebih dari 5 tahun.

      Nota: lihat juga link ini: https://employmentbasics.wordpress.com/2013/10/21/jenis-cuti-bergaji/

      Menjawab soalan Misha: Pekerja itu telah bekerja selama 2 tahun 11 bulan. Maka dia telah berhak untuk mendapat Cuti Tahun sebanyak 12 hari (sila lihat (b) di atas.

      2. Saya tidak tahu amalan syarikat Misha dalam hal “Cuti”. Kerana itu saya andaikan terma kerja bagi pekerja itu tertakluk kepada Akta Kerja 1955.

      3. Tetapi Misha sedia maklum, ada syarikat yang mengguna-pakai terma dan peraturannya sendiri: syarat perkhidmatan atau kontrak perkhidmatan, atau Perjanjian Bersama (Collective Agreement). Dalam kes seperti ini tentulah bilangan dan kelayakan atau syarat Cuti Tahun itu berbeza dari jawapan yang saya berikan.

      4. Jika dirasakan perlu, Misha (dan pembaca/pengikut lain) boleh hubungi saya melalui e-mail ini: armanpin gmail com

      Terima kasih.

      Like

    • rahman ariffin says:

      Cik Misha,

      Terima kasih bertanya dan hadir ke blog saya ni.

      Jawapan saya hanyalah berpandu kepada soalan Cik Misha sahaja, yang saya andaikan dasar atau peraturan syarikat dalam isu Cuti Tahunannya seperti yang digariskan oleh Akta Kerja, iaitu konsep “Earned Leave”, dan bilangan Cuti Tahunan ialah 8hari/12hari/16hari.

      Pekerja Cik Misha (“P) mula bekerja pada 15/2/2014.
      Sehingga 14/2/2015 – 1 Tahun – Cuti Tahunan ialah 8 hari
      Sehingga 14/2/2016 – 2 Tahun – Cuti Tahunan ialah 8 hari
      Sehingga 14/2/2017 – 3 Tahun – Cuti Tahunan ialah 12 hari

      Kerana “P” telah bekerja dalam Tahun ke-3, maka dia layak mendapat Cuti Tahunan sebanyak 12 hari. Tetapi sehingga 16/1/2017, tidak cukup tahun (hanya 11/12 Tahun) maka P hanya layak mendapat 11/12 x 12 = 11 hari.

      Jadi, setakat 16/1/2017, P ada 11 hari Cuti Tahunan.

      Harap dapat membantu Cik Misha.

      Like

  12. Siti says:

    Assalamualaikum.
    Majikan sy ada buat policy baru untuk 2017
    Cuti tahunan bergaji selama 9 hari
    Memohon cuti 7 hari bekerja sebelum tarikh cuti.

    Soalan saya,
    Untuk perkhidmatan lebih 2 tahun, sy berhak dpt cuti tahunan bergaji selama 12 hari kan?
    Dan klu ikut akta buruh, adakah betul kena mohon 7hari bekerja sblum trikh cuti?

    Dan sebenarnya sebelum ini, sejak kerja dan sehingga akhir 2016, saya tidak mendapat cuti tahunan bergaji, cuti mc pun majikan tolak gaji. (jun 2016 genap 2 tahun)
    Lagi 1, majikan ada cakap, sekiranya ambil cuti sakit selama 7 hari, majikan hanya akan bayar gaji hari pertama sahaja, 6 hari lagi akn tolak gaji alasan majikan cuti dalam satu masa, adakah betul mcm tu kalau ikut akta buruh?

    Like

    • rahman ariffin says:

      Cik Siti,

      Terima kasih sudi singgah di blog ini, terima kasih kerana ingin bertanya, walaupun orang yang ditanya tidaklah hebat seperti orang lain.

      Soalan yang menarik, dan persoalan yang menarik. Sekarang ini jam 3.55 petang,nak study dulu soalan Cik Siti, maka harap dapat tunggu jawapan saya esok pagi.

      Terima kasih.

      Like

    • rahman ariffin says:

      Cik Siti,

      Waalaikumussalaam. Maaf lambat benar menjawab. Sesuatu telah terjadi kepada laptop saya.

      1. Saya assume Cik Siti berada dalam golongan pekerja di bawah naungan Akta Kerja.
      2. Bilangan cuti ditentukan oleh Akta Kerja tetapi dasar atau peraturan pengambilan cuti ditentukan oleh majikan/syarikat.
      3. Ertinya, bilangan Cuti Tahun Cik Siti (yang telah berkhidmat lebih dari 2 tahun) ialah 12 hari, bukan 9 hari. Cara bagaimana cuti itu diambil ditetapkan oleh syarikat, mengikut peraturan syarikat, yang mesti dipatuhi oleh pekerja. Dalam kes ini, syarikat telah menetapkan sebagai peraturannya bahawa mesti memohon cuti 7 hari sebelum tarikh bercuti, perlulah dipatuhi. Ia bukan kehendak Akta Kerja tetapi kehendak peraturan syarikat.
      4. Cik Siti tidak mendapat Cuti Tahun dan Cuti Sakit sejak mula bekerja, itu menyalahi kehendak undang-undang (Akta Buruh). Perkara seperti ini boleh Cik Siti bincang dengan Jabatan Sumber Manusia syarikat atau terus dengan majikan. Jika tidak membuahkan hasil, bolehlah adukan kepada Pejabat Buruh yang berdekatan.
      5. Cuti Sakit 7 hari, hanya dibayar hari pertama sahaja: Ini pun tidak betul. Cik Siti boleh meminta hak Cik Siti dengan berjumpa dengan pihak HR atau majikan. Jika tidak berhasil, laporkan perkara ini kepada Jabatan Buruh.

      Like

    • rahman ariffin says:

      Assalaam dan terima kasih kerana bertanya serta sabar menunggu.

      1. Policy baru oleh majikan Cik Siti itu (Cuti Tahunan 9 hari) tidak bertepatan dengan kehendak minima Akta Kerja (undang-undang buruh). Ianya bagus bagi pekerja yang berkhidmat kurang dari 2 tahun (Akta Kerja menetapkan 8 hari sahaja) tetapi tidak baik bagi pekerja lain (12 hari bagi 2 tahun tetapi kurang 5 tahun; 16 hari bagi yang 5 tahun atau lebih). Malah ingin saya katakan seperti ini: Majikan Cik Siti telah melaksanakan policy yang tidak wajar.

      2. Tempoh mohon cuti tahun 7 hari: Majikan berhak mengadakan peraturan mengikut budi bicaranya atau keperluannya sendiri. Akta Kerja atau undang-undang hanya menetapkan dasar atau garis panduan mengenai hak bagi pekerja. Bagaimana hak itu diperolehi atau diberi kepada pekerja tidak ditetapkan oleh undang-undang. Maka pekerja mestilah mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh majikan.

      3. Tidak mendapat Cuti Tahunan sejak bekerja; Cuti Sakit dipotong gaji: Saya berpendapat ini adalah menyalahi Akta Kerja, dan tidak adil. Majikan atau syarikat tidak dibenarkan oleh undang-undang untuk menafikan hak-hak tertentu seperti Cuti Tahunan dan Cuti Sakit kepada pekerjanya. Cik Siti seharusnya telah berunding dengan majikan dalam isu ini, kenapa terjadi begitu, apa sebabnya dll, dan jika masih gagal, laporkan ke pejabat buruh yang berhampiran. Itu adalah hak seorang pekerja.

      4. Cuti Sakit: Setiap pekerja dan setiap majikan mesti mematuhi peruntukan undang-undang dalam hal ini, yang telah sekian lama dilaksanakan dan difahami oleh semua majikan dalam Semenanjung Malaysia. Iaitu 12hari/14hari/16hari, di mana pekerja mesti diberikan hak bilangan Cuti Sakit berbayar dalam setahun mengikut tempoh lama dia berkhidmat: 12 hari bagi tempoh khidmat Kurang 2 tahun, 14 hari bila bekerja 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun, 16 hari bila dia telah bekerja 5 tahun atau lebih. Sebarang dasar yang berlainan dari ini adalah menyalahi undang-undang buruh.

      Saya harap jawapan ini dapat membantu Cik Siti.

      Like

    • rahman ariffin says:

      Assalaam dan terima kasih kerana bertanya serta sabar menunggu.

      1. Policy baru oleh majikan Cik Siti itu (Cuti Tahunan 9 hari) tidak bertepatan dengan kehendak minima Akta Kerja (undang-undang buruh). Ianya bagus bagi pekerja yang berkhidmat kurang dari 2 tahun (Akta Kerja menetapkan 8 hari sahaja) tetapi tidak baik bagi pekerja lain (12 hari bagi 2 tahun tetapi kurang 5 tahun; 16 hari bagi yang 5 tahun atau lebih). Malah ingin saya katakan seperti ini: Majikan Cik Siti telah melaksanakan policy yang tidak wajar.

      2. Tempoh mohon cuti tahun 7 hari: Majikan berhak mengadakan peraturan mengikut budi bicaranya atau keperluannya sendiri. Akta Kerja atau undang-undang hanya menetapkan dasar atau garis panduan mengenai hak bagi pekerja. Bagaimana hak itu diperolehi atau diberi kepada pekerja tidak ditetapkan oleh undang-undang. Maka pekerja mestilah mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh majikan.

      3. Tidak mendapat Cuti Tahunan sejak bekerja; Cuti Sakit dipotong gaji: Saya berpendapat ini adalah menyalahi Akta Kerja, dan tidak adil. Majikan atau syarikat tidak dibenarkan oleh undang-undang untuk menafikan hak-hak tertentu seperti Cuti Tahunan dan Cuti Sakit kepada pekerjanya. Cik Siti seharusnya telah berunding dengan majikan dalam isu ini, kenapa terjadi begitu, apa sebabnya dll, dan jika masih gagal, laporkan ke pejabat buruh yang berhampiran. Itu adalah hak seorang pekerja.

      4. Cuti Sakit: Setiap pekerja dan setiap majikan mesti mematuhi peruntukan undang-undang dalam hal ini, yang telah sekian lama dilaksanakan dan difahami oleh semua majikan dalam Semenanjung Malaysia. Iaitu 12hari/14hari/16hari, di mana pekerja mesti diberikan hak bilangan Cuti Sakit berbayar dalam setahun mengikut tempoh lama dia berkhidmat: 12 hari bagi tempoh khidmat Kurang 2 tahun, 14 hari bila bekerja 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun, 16 hari bila dia telah bekerja 5 tahun atau lebih. Sebarang dasar yang berlainan dari ini adalah menyalahi undang-undang buruh.

      Saya harap jawapan ini dapat membantu Cik Siti.

      Like

  13. Alhuda says:

    Assalamualaikum,
    majikan saya telah membuat 1 polisi baru bagi tahun 2017 dimana cuti tahunan tidak lagi boleh ‘carry forward’. dan majikan bersetuju untuk membayar baki cuti pada tahun 2016 sahaja. bagi tahun 2014 dan 2015 majikan tidak mahu lagi bayar baki cuti kami dan ia dikira ‘burn’.

    soalan saya,
    sebagai staff, kami berhak tak untuk menuntut baki cuti bagi tahun 2014 & 2015 tersebut?
    cuti kami pada tahun tersebut masih banyak dan sebelum ini majikan benarkan kami utk ‘carry forward’ cuti kami. tapi sekarang arahan yg majikan keluarkan dan alasan yang disertakan mengatakan kami yang tidak berminat mengambil cuti tersebut sedangkan majikan selalu tidak luluskan cuti kami. Boleh ke kami tuntut baki cuti tersebut?

    Like

    • rahman ariffin says:

      1. Majikan boleh saja membuat polisi baru yang difikirkan sesuai dan berfaedah kepada syarikat keseluruhannya, asalkan tidak menganiaya pekerjanya. Maka dalam kes ini, majikan puan boleh membuat polisi baru mengenai Cuti Tahunan iaitu carry forward Cuti Tahun tidak lagi dibenarkan.
      2.Syarikat membuat keputusan yang baik dengan membayar baki cuti bagi Tahun 2016. Tetapi saya kira ia berlaku tidak adil dan tidak wajar untuk tidak membayar ganti baki-baki cuti tahun bagi 2014 dan 2015. Sila berunding secara baik dengan majikan mengenai hal ini. Jika tidak berhasil, sila bawa perkara ini dengan melapor kepada Jabatan Buruh.

      Like

  14. datin sharifah noorazah says:

    saya nak tanya cuti tahunan tahun lepas 2016 boleh kah di ambil kira tolak cuti cny 2017 pada bulan january?

    Like

    • rahman ariffin says:

      Assalaam Datin Sh. Noorazah,

      Terima kasih kerana datang ke blog ini.

      Dalam menjawab soalan ini, saya membuat andaian-andaian dan assumption berikut:

      Cuti Tahunan 2016 berbaki: 4 hari.
      Cuti Tahunan 2017 yang layak: 14 hari.
      Cuti Tahun Baru Cina: 5 hari.

      Maka bolehlah Cuti Tahun Baru Cina sebanyak 5 hari itu ditolak dari baki cuti 2016 tanpa menyentuh kelayakan Cuti Tahunan 2017.

      Harap saya telah membantu.

      Like

  15. Dhia says:

    Assalamualaikum,
    Saya sudah 10thn bekerja dan sekarg 5 thn di syarikat swasta yg sama. 2-3bln yg lepas syarikat dapat 1 project yg datelinenya pd awal februari. kerana projek tersebut, pekerja telah disuruh untuk bekerja lebih masa (lebih 10j sehari) dan termasuk bekerja pada hari sabtu dan ahad (sebulan bekerja tanpa cuti). soalan saya:
    1. adakah majikan berhak berbut demikian? dan apakah hak kami sebagai pekerja pula?
    utk pengetahuan majikan gantikan hari tersebut sebagai replacement leave, dgn syarat cuti diambil pada hari isnin atau jumaat shj…

    2. juga baru2 ini majikan memberitahu bahawa cuti tahunan sebenarnya hanya boleh diambil 2 hari sebulan shj. adakah ini benar? adakah majikan berhak menolak permohonan cuti pekerja walaupun permohonan telah dibuat awal dan tiada sebarang urusan penting? bolehkah majikan menolak permohonan pada saat2 akhir dengan alasan urusan kerja belum selesai?

    mohon pencerahan. terima kasih

    Like

    • rahman ariffin says:

      Cik Dhia,

      Terima kasih atas soalan ini.

      Saya hanya menjawab dengan membuat andaian bahawa Cik Dhia adalah seorang pekerja yang tertakluk di bawah Akta Kerja. Jika Cik Dhia seorang pengurus atau eksekutif atau seseorang yang bukan tertakluk kepada Akta Kerja, jawapan ini bukanlah untuk Cik Dhia.

      1. Pada dasarnya, Majikan tidak boleh memaksa atau mewajibkan pekerjanya bekerja OT, tidak kiralah berapa jam OT itu dalam sehari, seminggu atau sebulan. Apa yang boleh dia lakukan ialah, majikan haruslah berunding dengan pekerjanya untuk membuat kerja OT itu berdasarkan keperluan syarikat, atau keperluan kerja itu sendiri. Tetapi pada masa yang sama pekerja tidak pula boleh menafikan permintaan majikan untuk melakukan kerja OT jika terdapat keperluan yang mendesak,, contohnya, production mesti berjalan pada hari Sabtu dan Ahad kerana produk mesti dihantar kepada customer pada hari Isnin.

      2. Kerja OT tidak boleh melebihi 104 jam dalam sebulan. Atau 4 jam sehari. Itu adalah penetapan oleh undang-undang (Akta Kerja). Sebarang lebih OT-hour adalah tidak mengikut undang-undang.

      3. Kerja OT tidak boleh dibayar secara Replacement Leave. Ianya mesti dibayar secara upah (wang). Jelas disebut dalam Akta Kerja bahawa balasan bagi kerja OT adalah upah yang dibayar mengikut formula berasaskan gaji pokok pekerja itu, bukan secara pemberian/gantian cuti.

      4. Kelulusan Cuti Tahunan: Cuti Tahunan adalah hak yang layak bagi seseorang pekerja. Apabila kelayakan untuk Cuti Tahunan telah dipenuhi dari segi undang-undang, maka pekerja layaklah untuk mendapat Cuti Tahunannya tanpa ditetapkan berapa hari sebulan dan sebagainya. Tetapi pada masa yang sama, pekerja juga perlulah ingat bahawa majikan juga mempunyai keperluan-keperluan perancangan dan sebagainya, kerana itu majikan bolehlah menetapkan pengambilan Cuti Tahunan dibuat secara “berjadual” atau secara terancang, atau kerana keperluan pekerjaan. Contohnya: dalam department yang mempunyai 22 orang pekerja, apabila tiba musim cuti sekolah, tidaklah mungkin semua orang diberi kelulusan untuk bercuti pada masa yang sama. Jika majikan tidak meluluskan cutinya seperti yang dipohon, tidaklah bererti majikan itu menidakkan hak cuti tahunan pekerja itu. Selain dari itu, semuanya terpulanglah kepada bagaimana pekerja berunding dengan majikan/ketua jabatannya dalam soalan pengambilan cuti tahunan.

      Like

    • rahman ariffin says:

      Cik Dhia,

      Terima kasih atas soalan ini.

      Saya hanya menjawab dengan membuat andaian bahawa Cik Dhia adalah seorang pekerja yang tertakluk di bawah Akta Kerja. Jika Cik Dhia seorang pengurus atau eksekutif atau seseorang yang bukan tertakluk kepada Akta Kerja, jawapan ini bukanlah untuk Cik Dhia.

      1. Pada dasarnya, Majikan tidak boleh memaksa atau mewajibkan pekerjanya bekerja OT, tidak kiralah berapa jam OT itu dalam sehari, seminggu atau sebulan. Apa yang boleh dia lakukan ialah, majikan haruslah berunding dengan pekerjanya untuk membuat kerja OT itu berdasarkan keperluan syarikat, atau keperluan kerja itu sendiri. Tetapi pada masa yang sama pekerja tidak pula boleh menafikan permintaan majikan untuk melakukan kerja OT jika terdapat keperluan yang mendesak,, contohnya, production mesti berjalan pada hari Sabtu dan Ahad kerana produk mesti dihantar kepada customer pada hari Isnin.

      2. Kerja OT tidak boleh melebihi 104 jam dalam sebulan. Atau 4 jam sehari. Itu adalah penetapan oleh undang-undang (Akta Kerja). Sebarang lebih OT-hour adalah tidak mengikut undang-undang.

      3. Kerja OT tidak boleh dibayar secara Replacement Leave. Ianya mesti dibayar secara upah (wang). Jelas disebut dalam Akta Kerja bahawa balasan bagi kerja OT adalah upah yang dibayar mengikut formula berasaskan gaji pokok pekerja itu, bukan secara pemberian/gantian cuti.

      4. Kelulusan Cuti Tahunan: Cuti Tahunan adalah hak yang layak bagi seseorang pekerja. Apabila kelayakan untuk Cuti Tahunan telah dipenuhi dari segi undang-undang, maka pekerja layaklah untuk mendapat Cuti Tahunannya tanpa ditetapkan berapa hari sebulan dan sebagainya. Tetapi pada masa yang sama, pekerja juga perlulah ingat bahawa majikan juga mempunyai keperluan-keperluan perancangan dan sebagainya, kerana itu majikan bolehlah menetapkan pengambilan Cuti Tahunan dibuat secara “berjadual” atau secara terancang, atau kerana keperluan pekerjaan. Contohnya: dalam department yang mempunyai 22 orang pekerja, apabila tiba musim cuti sekolah, tidaklah mungkin semua orang diberi kelulusan untuk bercuti pada masa yang sama. Jika majikan tidak meluluskan cutinya seperti yang dipohon, tidaklah bererti majikan itu menidakkan hak cuti tahunan pekerja itu. Selain dari itu, semuanya terpulanglah kepada bagaimana pekerja berunding dengan majikan/ketua jabatannya dalam soalan pengambilan cuti tahunan.

      Like

  16. noorzai says:

    Assalamualaikum..

    benarkah utk 1 thn pertama bekerja tidak layak mendapat cuti tahunan 8 hari

    mohon perncerahan

    Terima Kasih

    Like

    • rahman ariffin says:

      Waalaikumussalam Cik Noorzai.

      1. Benar Cik Noorzai, sepanjang tahun pertama, Pekerja belum layak untuk mendapat Cuti Tahunan.

      2. Jawapan seterusnya, adalah seperti yang baru saja saya berikan kepada Cik Marina di atas (maaf saya lambat jawab kemusykilan Cik Noorzai ini).

      Terima kasih kerana sudi bertanya, dan semoga jawapan saya dapat membantu.

      Like

    • rahman ariffin says:

      Waalaikumussalam Cik Noorzai.

      1. Benar Cik Noorzai, sepanjang tahun pertama, Pekerja belum layak untuk mendapat Cuti Tahunan.

      2. Jawapan seterusnya, adalah seperti yang baru saja saya berikan kepada Cik Marina di atas (maaf saya lambat jawab kemusykilan Cik Noorzai ini).

      Terima kasih kerana sudi bertanya, dan semoga jawapan saya dapat membantu.

      Like

  17. Marina says:

    Assalamualaikum,
    Saya ada sedikit kemusykilan berkenaan dengan kelayakan CUTI TAHUNAN pada TAHUN PERTAMA iaitu bermula dari tarikh MULA KERJA. Adakah cuti tahunan berbayar ini tanya layak diambil pada tahun kedua perkhidmatan (bermakna sepanjang tahun yang pertama bekerja, pekerja tidak layak memohon cuti tahunan berbayar).

    Contoh jika mula kerja pada 01.01.2016, maka sepanjang tahun 2016 pekerja tidak layak memohon cuti tahunan. Jika pekerja bercuti selain daripada cuti umum atau cuti rehat, akan dikira sebagai CUTI TIDAK BERBAYAR. Hanya pada 01.01.2017 maka baru lah pekerja itu telah mendapat kelayakan CUTI TAHUNAN BERBAYAR?

    Mohon pencerahan daripada pihak tuan. Terima kasih.

    Like

    • rahman ariffin says:

      Waalaikumussalaam Cik Marina.

      1. Jawapan direct kepada soalan Cik Marina: Ya, benar; begitulah kedudukannya dari segi Akta Kerja (“undang-undang buruh”). Konsep atau kaedah yang terpakai mengikut Akta Kerja ialah “Earned Leave”, iaitu pekerja mesti bekerja terlebih dahulu sebelum layak atau berhak mendapat Cuti Tahunannya. Maka dalam bahasa mudahnya, pekerja itu hendaklah bekerja selama 12 bulan terlebih dahulu barulah dia layak atau berhak mendapat dan mengambil Cuti Tahunannya dalam tahun yang berikut. Sebarang pengambilan cuti sebelum tempoh itu (tidak termasuk Cuti Sakit, Cuti Umum, Cuti Rehat) adalah semata-mata atas budi bicara majikannya, dan adalah sebagai Cuti Tanpa Gaji.

      2. Tetapi ada juga majikan/syarikat yang mengikut dasar atau kaedah sendiri (berlainan dari Akta Kerja). Contohnya: Bagi tahun pertama bekerja, Pekerja layak memohon/mengambil Cuti Tahunan secara pro-rata.

      Contoh A: Pekerja “P” mula bekerja pada 01.01.2016, ertinya sehingga 31.12.2016, dia akan bekerja selama 12 bulan (12/12). Maka dia layak mendapat Cuti Tahunan untuk Tahun Pertama sebanyak 8 hari, iaitu 12/12 x 8 hari = 8 hari.

      Contoh B: “P” mula bekerja pada 01.04.2016, ertinya sehingga 31.12.2016, dia akan bekerja selama 9 bulan (9/12). Maka dia layak mendapat Cuti Tahunan bagi sepanjang tempoh sehingga 31.12.2016 sebanyak 9/12 x 8 hari = 6 hari.

      3. Akhirnya dalam konteks soalan ini, Cik Marina perlulah melihat apakah dasar mengenai Cuti Tahunan yang diamalkan oleh majikan/syarikat Cik Marina.

      Harap jawapan ini dapat membantu.

      Like

  18. liyana says:

    Assalammualaikum, saya ingin bertanya samaada saya boleh mengunakan cuti tahunan sepenuhnya semasa dalam tempoh notis perletakan jawatan dimana saya telah berkerja lebih 6 tahun. Saya bermula kerja pada 01.10.2010 dan mula menghantar notis perletakan jawatan pada 01.01.2017 dan berakhir pada 31.03.2017. Mengikut polisi syarikat saya,cuti tahunan saya adalah 20 hari bagi tahun ini. Jadi,boleh kah saya mengunakan cuti 20 hari itu bagi tempoh 3 bulan notis tersebut di bawah akta pekerjaan? Mohon penjelasan dari pihak tuan. Terima kasih.

    Like

    • rahman ariffin says:

      Cik Liyana, waalaikumussalaam.

      Terima kasih kerana bertanya, dan terima kasih kerana datang ke blog ini.

      Soalan puan: Bolehkah puan guna kesemua Cuti Tahunan (Annual Leave; AL) semasa tempoh notis perletakan jawatan?

      Kita gariskan dulu fakta-fakta yang ada:

      1. Tempoh perkhidmatan puan dengan syarikat: 6 tahun
      2. Cuti Tahunan puan: 20 hari
      3. Notis letak jawatan: 3 bulan; 01/01/207 ~ 31/03/2017.
      —–
      Jawapan saya:

      1. Tempoh perkhidmatan puan (6 tahun) puan bukanlah faktor yang dapat diguna dalam isu yang puan tanyakan ini. Jadi kita abaikan fakta ini.
      2. Cuti Tahun 20 hari itu,, saya andaikan bilangan untuk setahun, iaitu bagi tempoh 12 bulan. Kerana puan berhenti pada 31/3/2017 (3 bulan), maka Annual Leave (AL) puan untuk 2017 hanyalah 3/12 x 20 = 5 hari.
      3. Hanya bilangan 5 hari itu yang boleh puan gunakan untuk ditolak dari tempoh perletakan jawatan, bukannya kesemua 20 hari.
      4. Jika puan mempunyai beberapa hari lagi baki AL bagi tahun 2016 (yang tidak digunakan dalam tahun 2016, dan bilangan baki ini dibawa ke hadapan), bilangan baki AL 2016 itu boleh juga digunakan untuk tolak (off set) dari tempoh perletakan jawatan itu.

      Sekian, diharap saya telah dapat membantu.

      Like

  19. Hakitairma says:

    Salam, saya nk tanya, saya berstatus pekerja tetap di sebuah syarikat swasta.baru-baru ini saya mengambil cuti tahunan selama 2 hari untuk pulang ke kampung. Ketika di kampung saya kurang sihat dan pergi ke klinik mengambil ubat dan juga mendapat 1 hari cuti sakit. Tetapi syarikat tidak menerima cuti sakit saya dengan alasan saya sakit dalam tempoh cuti tahunan diambil. Adakah betul tindakan syarikat saya?

    Like

  20. rahman ariffin says:

    Tuan,

    Terima kasih kerana sudi datang ke blog ini.

    Isunya ialah syarikat tuan tidak menerima cuti sakit tuan itu “dengan alasan tuan sakit dalam tempoh cuti tahunan diambil.”

    Jawapan saya ialah, tindakan syarikat tuan itu tidak betul. Cuti Tahunan tuan sebanyak hari hendaklah dikembalikan, yakni tidak ditolak.

    Ini berdasarkan kepada Akta Kerja, yang jelas menyatakan bahawa jika pekerja telah memohon dan mendapat kelulusan cuti tahunan, tetapi dia dia sakit dan mendapat cuti sakit di dalam tempoh cuti tahunan itu, maka cuti tahunan tadi itu akan dianggap sebagai tidak ambil oleh pekerja (Seksyen 60E (1B)).

    Harap jawapan ini dapat membantu tuan.

    Like

  21. Ben says:

    4 Sept 2017 telah diwartakan sebagai cuti am berikutan kejayaan Malaysia di sukan sea.
    Majikan membuat keputusan untuk menggantikan cuti di hari yang akan dipersetujui nanti.
    Bagaimana cara yang betul untuk majikan memberitahu pekerja berikutan cuti panjang hari kebangsaan dan hari raya ?

    Like

    • rahmanpin says:

      En Ben, terima kasih kerana sudi ke sini.

      1. Keputusan majikan menggantikan tarikh Cuti Umum itu ke tarikh lain adalah betul; itu hak majikan.

      2. Saya fikir cara yang betul bagi majikan memberitahu pekerja akan hal ini ialah melalui notis bertulis, dipamerkan di papan kenyataan syarikat. Tetapi kerana pengumuman cuti umum itu dibuat secara “mengejut” oleh kerajaan, “last minute”, bagaimana mahu letak notis, bukan?

      3. Dalam kes seperti Cuti Sukan SEA ini, menjadi tanggungjawab pekerja untuk datang bekerja seperti biasa pada hari Isnin itu. Dapatkan maklumat resmi sama ada syarikat bekerja atau bercuti pada hari itu. Kalau cuti, bercutilah. Kalau tidak, bekerjalah seperti biasa.

      4. Dalam hal pengumuman “cuti mengejut” seperti ini, pihak syarikat eloklah membuat satu dasar bertulis di awal tahun lagi. Sebagai contoh: “Syarikat mengiktiraf Cuti Umum Tambahan sebagai cuti umum oleh syarikat tetapi tarikhnya akan diganti ke suatu tarikh yang lain yang akan diputuskan oleh pengurusan kelak. Maka tarikh cuti umum asal yang diumumkan oleh kerajaan itu tetap kekal sebagai hari kerja biasa bagi semua pekerja”.

      Harap jawapan ini dapat membantu En Ben di masa depan.

      Like

  22. wan asma alifah wan man says:

    As salam, saya bekerja di bawah syarikat swasta ingin dapatkan kepastian mengenai Cuti Umum Berbayar. Hasil dari bacaan saya dari beberapa laman web,
    Cuti umum wajib diberikan kepada pekerja adalah 11 hari dan majikan harus mempamerkan senarai cuti tersebut tetapi sepanjang 3 tahun saya bekerja disini, cuti umum yang diberikan hanya 10 hari sepanjang tahun.
    Adakah terdapat perubahan terbaru mengenai jumlah cuti umum ini?
    jika tidak, apakah langkah yang terbaik yang perlu saya lakukan?

    terima kasih atas pandangan dan bantuan dari Tuan.

    Like

    • rahmanpin says:

      1. Terima kasih Cik Wan Asma kerana sudi ke blog ini. Maaf kerana lambat memberi jawapan (sibuk mengikuti Sukan SEA dan Sukan SEA Para hahaha).

      2. Undang-undang menetapkan (Akta Kerja) bahawa Syarikat mesti mengiktiraf 11 hari dari hari-hari Cuti Umum yang ditetapkan. 11 hari ini tidak termasuk Cuti Umum yang “istimewa” diumumkan secara last minute; contohnya Cuti Umum sempena kejayaan Sukan SEA baru-baru ini.

      3. Maka majikan yang memberi (mengiktiraf) hanya 10 hari Cuti Umum adalah menyalahi undang-undang.

      4. Dalam kes begini, langkah yang terbaik yang boleh Cik Asma buat ialah dengan berjumpa dan berbincang dengan pihak majikan. Bertemulah dengan HR, beritahu akan hal ini secara berhemah. Dengar apa response HR. Beri masa untuk HR bawa isu ini me management atau Big Boss. Jika tidak berjaya atau status masih sama, Cik Asma atau mana-mana pekerja bolehlah melaporkan hal ini kepada Jabatan Tenaga Manusia (“Jabatan Buruh”; “Labour Office”) untuk diperbetulkan keadaan.

      Harap kami telah dapat membantu Cik Asma dalam hal ini.

      Like

      • wan asma alifah wan man says:

        Assalam, terima kasih atas makluman Tuan tempoh hari.
        setelah berbincang dengan pihak HR mengenai Cuti Umum Berbayar yang wajib diberikan oleh majikan,
        pihak HR mekmaklumkan bahawa di pautan Soalan Lazim Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia menyatakan ;
        jumlah minimum cuti umum yang layak diterima oleh pekerja dalam setahun adalah 10 hari cuti seperti yang diwartakan termasuk empat hari cuti umum iaitu:

        (a) Hari Keputeraan D.Y.M.M Yang Dipertuan Agong
        (b) Hari Keputeraan Sultan/ Yang Dipertua Negeri/Wilayah Persekutuan
        (c) Hari Pekerja
        (d) Hari Kebangsaan

        jadi majikan telah memaklumkan kepada saya bahawa tindakan mereka betul mengikut undang-undang.
        Apakah pandangan dari pihak Tuan?

        Like

      • rahmanpin says:

        Rujukan HR itu bukan lagi undang-undang (Akta Kerja) semasa. Undang-undang mengenai hal ini telah dipinda, dari cuti umum 10 hari menjadi 11 hari. Sila rujuk Seksyen 60D(1) Akta Kerja. Dan saya juga copy link dari Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia untuk rujukan Cik Wan dan HR tersebut. http://jtksm.mohr.gov.my/images/akta_kerajaan/akta_kerja1955_bi.pdf

        Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s